Wednesday, April 22, 2009

Bahasa Malaysia Edition


Mengapa Tuhan Tidak Mendengar Doa Saya?

(Why God did not listen to my prayers?)



Soalan:
Pada masa-masa kesusahan, saya selalu merasakan Tuhan itu begitu jauh. Tuhan seakan tidak mendengar doa keluhan saya. Saya pernah mendapatkan nasihat dan mendengar jawaban daripada orang lain, tetapi jawaban yang diberikan tidak memuaskan hati saya. Bolehkah Paderi membantu saya?

Jawapan:
Mungkin penerangan dan jawaban saya juga tidak memadai untuk anda. Tetapi saya percaya bahawa soalan ini timbul apabila kita cenderung melihat Tuhan di dalam iman manusia. Saya menyedari, ramai di antara kita yang menganggap Tuhan itu adil dengan cara menghukum mereka yang bersalah dan memberi pahala kepada yang melakukan kebaikan. amun, sekiranya kita menghayati Firman Tuhan, cintakasih dan belas kasihan-Nya adalah tidak dapat diukur sebaliknya Dia sentiasa mahu membuat kebaikan untuk kita.

Apabila kita membaca Perjanjian Lama, kita dapat melihat dengan jelas belas kasihan Tuhan terhadap penderitaan manusia. Tuhan melihat dan merasai penderitaan orang-orang Ibrani. “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir ... Aku tahu akan segala penderitaan mereka.” (Keluaran 3:7). Tuhan turut menderita dengan mereka: “Aku diam dan menahan diri. Aku akan berteriak seperti perempuan yang bersalin” (Yesaya 42:14). Penderitaan Tuhan ini turut dipamerkan di dalam Kitab Yeremia ketika Dia memujuk Rahel yang kehilangan anaknya Efraim, “Engkau anak kesayangan-Ku, anak tercinta, buah hati-Ku. Aku mengasihimu; Aku akan berbelas kasihan” (31:20). Petikan-petikan ini adalah di antara contoh yang memperlihatkan sifat Tuhan yang sangat mengasihani.

Di dalam Perjanjian Baru, kita dapat melihat buktibukti jelas tentang belas kasihan Tuhan di dalam banyak cara. Di dalam pelayanan-Nya, Yesus banyak memberi kelegaan, menyentuh mereka yang sakit dan menyembuhkan serta mendekati semua orang, bukan sahaja orang-orang yang tidak diterima oleh masyarakat tetapi orang-orang kaya serta berpengaruh.

Yesus tidak menyatakan kepada umat untuk menanggung penderitaan mereka sendiri atau penderitaan itu datangnya dari Tuhan. Yesus merasai penderitaan yang ditanggung oleh manusia misalnya Dia menangis kerana Yerusalem, Dia meratap kerana mahu melindungi umat-umat-Nya di bawah naungan sayap-Nya sambil berharap mereka akan membukakan hati untuk menerima tawaran cintakasih-Nya. Tuhan tetap bersama dengan kita di dalam penderitaan dan kejahatan. Malah Dia berada dekat dengan kita dan menderita bersama-sama dengan kita.

Apabila kita memperkatakan mengenai penderitaan Tuhan, selalunya kita berfikir dari sudut pengalaman manusia. Penderitaan bagi manusia selalunya mengancam keutuhan iman tetapi ini tidak ada kaitannya dengan Yesus.

Tuhan bekerja di dalam diri kita ketika kita menderita. Biasanya penderitaan yang kita alami mengancam dan merosakkan perhubungan kita dengan Tuhan. Kita mula mempersoalkan cintakasih dan keadilan Tuhan semasa penderitaan.

Kita tertanya-tanya sama ada kita boleh terus berdoa kepada Tuhan yang kita anggap menghantar atau punca kepada penderitaan ini. Seharusnya, kita harus teguh dan kuat dengan kehadiran Tuhan seperti yang dinyatakan oleh pemazmur di dalam Mazmur 23 “Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut gelap gelita, aku tidak akan takut, ya Tuhan.”

Tuhan memberikan kebebasan kepada manusia agar mereka bersedia dan ‘merdeka’ di dalam memilih bagaimana untuk mempersembahkan cintakasih, penghargaan dan melayani Sang Pencipta. Perhubungan yang lemah tidak akan dapat mempersembahkan penghormatan dan kemuliaan kepada Tuhan yang banyak memberi kita rahmat. Penderitaan hanyalah bersifat sementara. Terdapat misteri yang sangat mendalam mengenai penderitaan dan ini sukar difahami sebagai manusia yang mempunyai banyak kelemahan.

Kita boleh menyatukan penderitaan dengan Kristus dengan datang kepada-Nya di dalam doa dan renungan. Mazmur merupakan doa-doa yang datangnya dari penderitaan dan pasti ada satu yang memenuhi keperluan doa anda.


Di dalam penyembuhan juga memerlukan kita untuk menjangkau orang lain. Datanglah kepada Bapa Yang Mengetahui seperti Yesus berdoa kepada Bapa- Nya, Dia berdoa ketika di dalam senang, kesyukuran dan penderitaan. Tuhan mampu menukarkan penderitaan dan memperbaharui semangat hidup kita, dengan ini kita akan merasai pengalaman kebangkitan yang sebenarnya.


Oleh itu, kita boleh mengatakan seperti yang dikatakan oleh Petrus “Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus.” (Kolose 1:24)— Oleh Sr Louise Zdunich, NDC


No comments: